Aku berpakaian baju melayu sekolah warna putih. Sedang berada di luar kelas. Aku panik. Aku telah melakukan satu kesalahan yg memungkinkan aku untuk dipanggil oleh ustaz dan didenda. Cuak cuak. Aku cuba berlalu dari kelas yang pengawasnya ditugaskan untuk memanggil pesalah-pesalah ini. Salah sorang pengawas itu adalah seniorku yg memang kawan dan jiran aku.
Ingatkan dia akan pandang sebelah mata je bila aku lalu, sekali dia panggil nama aku,
"sini kau"
Aku panik dan terus masuk bilik darjah. Aku kena ambik sampin aku dulu nak ngadap ustaz tu. Halamak, camne ni. Perlahan-lahan aku masuk bilik darjah sebelah yang mana ustaz tu sudah menunggu. Ada yg lain sudah pun berdiri di depan kelas. Sama-sama buat salah. Sampin telah ku pakai kemas.
Ustaz tu nampak je aku, dia terus londehkan balik sampin aku dan selimpangkan kat bahu aku macam penari zapin selalu pakai. "haa..ko pakai camni tadi kan?", kata ustaz tu lagi. Oh, baru aku tau salah aku apa skang. Maka berdiri lah aku bersama pelaku-pelaku kesalahan yang lain.
"Eh, Ustaz Jamran??"
Aku tersedar dari tidur. Arwah Ustaz Jamran ni ustaz yang mengajar di sekolah rendah agama waktu aku berumur 9 tahun. Arwahnya sangat tegas, garang dan agak bengis mukanya (ini adalah deskripsi semata-mata, takde niat untuk menghina atau mengata arwahnya). Arwahnya memang selalu rotan budak. Disiplin pelajar memang antara tanggungjawab arwahnya. Senior-senior nakal menggelarnya Ustaz Jamban (jamban bermaksud tandas dalam jawa) untuk melepaskan rasa tak puas hati pada arwahnya.
Suatu petang, semua murid sedang duduk dalam saf, dalam surau menunggu waktu asar serta menunggu ustaz yg bakal mengimamkan kami. Tiba-tiba 2 orang senior aku bergaduh dalam surau. Kami hanya memerhati sahaja. Tiba-tiba arwahnya naik ke surau dan menengking mereka. Mereka berdua berdiri sambil mendengar arwahnya memarahi mereka.
Kemudian di hujungnya marah arwahnya, yg masih segar dalam ingatan aku hingga kini adalah ayat terakhir dari arwahnya petang itu;
"Korang ni hidup sementara je kat dunia. Saya ni mendidik je. Bukan saja-saja nak marah dan garang pada kamu. Saya takut kat akhirat nanti saya ditanya tanggungjawab didik kamu. Saya takut sangat bila tuhan tanya pada saya. Saya takut saya tak dapat laksanakan tanggungjawab. Ya Allah..saya takut sangat"
Masa tu kami diam je lah. Rupanya keesokan harinya, weekend, sabtu tak silap aku, kami dengar khabar yang Ustaz Jamran menghembuskan nafasnya yg terakhir. Ramai anak murid yg sanggup berbasikal utk layat (bahasa jawa untuk ziarah rumah si mati). Itu rupanya kata-kata terakhir arwahnya.
Sudah belasan tahun, tiba-tiba arwahnya muncul dalam mimpi aku. Aku hanya mampu sedekah al fatihah sebanyaknya sehingga lena menggamit ku semula.
Comments
dan mimpi kadang2 sebagai peringatan kepada kita
or sekadar peringatan...